Thursday 17 May 2012

KONSEP MODENISASI

PEMODENAN baik pemodenan ekonomi ataupun pemodenan politik akan memberi impak besar terutama pada negara yang baru merdeka. Pemodenan dapat menstruktur semula negara yang baru merdeka berkenaan dan akan dirubah mengikut gaya baru yang sesuai dengan pihak/pemikir yang mempromosi pemodenan berkenaan. Pengertian tentang modenisasi agak pelbagai dan bergantung juga kepada zaman atau era-era tertentu dan pendekatan yang digunapakai oleh pemikirnya. Salah satu definisi yang agak semasa dan sederhana ialah modenisasi adalah pembangunan berencana yang distrukturkan dengan pendekatan ekonomi tertentu dan ia dibezakan dengan pembangunan yang tidak berencana yang selalu disinonimkan dengan pembaratan (Shamsul Amri Baharuddin,2007. 

 Namun modenisasi bukanlah satu gagasan yang bebas nilai dan boleh berdiri sendiri tanpa dikaitkan dengan latar sejarah gagasan itu dan juga aplikasinya. Walaupun konsep ini digunakan dengan definisi baru tetapi ia tidak dapat lari dari konotasi asal sebagaimana yang pernah digunakan oleh kebanyakan ahli-ahli sosiologi atau lebih khusus lagi ahli-ahli ekonomi pembangunan. Oleh itu asas teoritis konsep ini seperti yang lazim dipakai dalam ilmu sosiologi perlu difahami. Kritik terhadap modenisasi pula tidak boleh dilihat sebagai kritikan golongan kiri ataupun sebagai anti Barat. Sebaliknya ia adalah satu kritik yang sah dan dilakukan oleh ahli-ahli sosiologi pembangunan dalam negeri seperti Shamsul Amri Baharuddin (1977) dan juga ahli-ahli sosiologi pembangunan antarabangsa seperti A.G Frank (1967). Malah sarjana Islam juga menyuarakan kritik yang tajam terhadap modenisasi kerana sifatnya yang anti tradisi itu (Wan Muhammad Ali 1977). Untuk bersikap objektif terhadap gagasan ini dan kesannya, maka gagasan ini perlu diteliti asal-usulnya terutama dari segi epistimologi dan konteks penggunaannya. 

Kaitan Modenisasi dengan Teori Dalaman.

 Penelitian ke atas masyarakat di luar daripada tamadun Barat pada umumnya didominasi oleh Teori Dalaman[1]. Teori ini menganggap bahawa sesebuah bentuk masyarakat adalah ditentukan oleh sifat-sifat tertentu yang berupa ciri dalaman kepada masyarakat berkenaan dan terasing daripada pengaruh yang datang daripada lingkungan masyarakat antarabangsa. Teori Dalaman menumpukan penelitian kepada nilai, sikap dan motif sebagai sifat-sifat dalaman sesebuah masyarakat dan faktor inilah yang akan menentukan atau menggalakkan berlakunya perubahan dalam masyarakat berkenaan.Faktor-faktor dari luar seperti perubahan diperingkat antarabangsa ataupun negara jiran tidak akan membawa perubahan signifikan kepada masyarakat berkenaan. Mengikut teori ini halangan pembangunan dalam sesebuah negara ialah halangan dalaman, seperti sikap, adat dan lain-lain. 

Satu dimensi lain yang penting dalam teori dalaman ini ialah rangka kerjanya berdasarkan belahan atau diakotomi yang akan mewujudkan dua kategori atau dua kelompok idea yang bertentangan. Setiap kelompok itu terletak bersebelahan tetapi terpisah - kedua-duanya adalah berbeza. Antara jenis-jenis idea yang saling bertentangan ini ialah diakotomi antara moden - tradisional.Moden mempunyai ciri-ciri tertentu seperti berdasarkan kehendak pasaran, berintensifkan modal, berteknologi tinggi dan lain-lain manakala tradisi pula mempunyai ciri yang bertentangan dengan ciri moden. Ciri-ciri terasnya ialah bersifat cukup hidup, berintensifkan tenagan empat kerat selain daripada menggunakan teknologi simple. Moden dan tradisi dalam teori dalaman ini di pertentangkan sehingga ia tidak dapat wujud serentak. 

 Dasar asas teori diakotomi ialah menerapkan idea bahawa masyarakat Barat dan masyarakat bukan Barat (atau dikenali sebagai Dunia Ketiga), yang juga bekas koloni kepada masyarakat Barat adalah dua bahagian yang terpisah. Masyarakat Barat dikelaskan sebagai masyarakat moden dan mereka telah mengalami perubahan daripada zaman tradisionalnya melalui proses modenisasi. Manakala masyarakat bukan-barat pula masih lagi berada pada peringkat tradisionalnya dan perubahan serta modenisasi boleh dicapai dengan berlakunya perubahan dalaman. Pendekatan dualisme yang dibayangi oleh faham etnosentrisme seperti ini sememang telah menjadi satu cara gaya sarjana barat dahulu melihat perubahan yang berlaku di luar wilayah mereka. Mereka mengambil sikap kaedah yang boleh digunapakai untuk mencapai permodenan di negara timur yang mereka jajah ialah melalui memajukan sistem pendidikan, melemahkan kuasa kepemimpinan tradisional seperti sistem politik feudal dan mengantikannya dengan politik demokratik dan juga memodenkan sistem komunikasi. 

 Pembangunan ekonomi seperti juga pemodenan politik telah menetapkan matlamat, kaedah dan ukuran pencapaian. Matlamat dalam pembangunan ekonomi ialah membawa kemajuan ekonomi, kaedah yang digunakan dalam pemodenan ialah dengan memajukan teknologi, membangunan pertanian supaya ala-ala industri, urbanisasi dan industrialisasi.

 Kesan Modenisasi ke Atas Dunia Ketiga 

 Modenisasi selalu dipandang sebagai sebagai kaedah terunggul dan penyelamat kepada negara yang baru maju dan merdeka. Di sebalik imej muluk yang dibawanya ia juga boleh diibaratkan duri dalam daging yang akan membawa masyarakat yang ghairah untuk berubah kepada kemunduran ekonomi dan kehilangan jatidiri. Mereka akan terperangkap dan tidak dapat keluar daripada pusingan ganas sistem kapitalis moden yang mereka tidak biasa lalui. 

 Sasaran awal yang cuba diruntuhkan oleh pemuka pemodenan ialah nilai-nilai atau sahaja yang berkaitan dengan sifat tradisional. Keadaan dalam tradisional dianggap statik atau jumud dan dikunci oleh adat resam yang dikeramatkan dan diperkukuhkan oleh sistem politik yang bercorak autoritarianisme. Manakala modenisasi pula selalu dianggap sebagai antitesis (lawan) tradisi. Oleh itu tiada nilai-nilai tradisi yang dapat wujud bersama dengan nilai moden. Satu-satunya pilihan yang ada untuk memodenkan sesebuah masyarkat mengikut skima permodenan barat ialah meninggalkan sama sekali unsur-unsur tradisional. Semua perubahan dalaman ini dianggap kunci perubahan yang penting kerana masyarakat tradisional disaluti oleh ciri-ciri keusangan dan lapuk dalam nilai, kepercayaan, sikap dan perwatakan anggota-anggotanya. Syarat ketat dan melampau seperti ini yang dituntut ke atas masyarakat dunia ketiga menyebabkan berlakunya tindakbalas yang juga keterlaluan. Mengikut Hagen (1962) ketaksuban terhadap nilai-nilai tradisi oleh sesetengah kelompok masyarakat adalah tindakbalas mereka terhadap pemodenan yang telah menghimpit jiwa dan raga mereka. Kemunculan golongan militan dan radikal yang menentang pemerintah pusat seperti di beberapa buah negara Amerika Latin adalah contoh himpitan permodenan ini. 

 Jikapun tiada pertentangan terbuka dari masyarakat awam, proses modenisasi yang berteraskan kapitalisme barat akan menyebabkan negara-negara yang mulanya mengamalkan sistem ekonomi tradisional terpaksa mengorbankan beberapa budaya material seperti kraf tradisi mereka, teknologi dan pengetahuan tempatan sehinggalah kepada identiti mereka sendiri. Contoh yang paling ketara ialah kesan yang menimpa masyarakat arang asli di Malaysia. Modenisasi yang dipaksakan ke atas mereka menyebabkan mereka tidak lagi berkebolehan mempraktikan sains (ilmu) dan teknologi (peralatan tradisional) yang pernah mereka warisi dari luluhur mereka. Malah pengetahuan tentang herba dan tumbuhan hutan yang dulunya menjadi sebahagian daripada habitat mereka juga turut hilang. Ini berlaku kerana penempatan baru mereka dan cara hidup baru yang diperkenalkan kepada mereka menjauhkan mereka dari segi bathin dan fizikal dengan ilmu-ilmu tradisional ini. Baik kepada masyarakat orang asli maupun pada peringkat negara-negara yang telah merdeka, kerana terlalu bergantung kepada bantuan-bantuan kerajaan ataupun negara pemberi bantuan yang tak pernah putus-putus maka wujud pengantungan yang berterusan dan hal ini dikonsepsikan oleh A.G.Frank (1971) sebagai Teori Pengantungan atau Dependency Theory. Walaupun atas alasan masyarakat yang masih ketinggalan juga berhak menikmati kemajuan yang dibawa oleh pemodenan dan pembuanaan tetapi mereka selalunya adalah dipihak yang kecundang. Yang dikejar tak dapat, yang dikendung keciciran. 

Ahli-ahli sains sosial di Malaysia juga mengkritik pemodenan yang berat sebelah ini. Mengikut mereka walaupun terdapat beberapa perubahan yang nampaknya seperti kejayaan-kejayaan, namun masih terdapat banyak isu dan masalah berkaitan pembangunan yang perlu ditangani dan diselesaikan. Sebenarnya di banyak negara, keperluan asas untuk kehidupan yang relatifnya memuaskan dan produktif masih belum diperolehi. Antara masalah yang masih belum terselesai sungguhpun terdapat pertumbuhan ekonomi dalam negara-negara tertentu ialah masalah kemiskinan dan ketaksamaan, pengangguran, juga social dislocation. Bahkan, dari segi realitinya jurang antara negara kaya dan negara miskin semakin melebar. Boleh dikatakan jurang ini merupakan antara ciri utama pertumbuhan pada abad ke-20 yang lepas. Begitu juga jurang antara golongan berada dan golongan termiskin dalam sesebuah negara (Ketua Editor Jurnal Akademika 64 - Atas talian, www.penerbit.ukm.my/jademik.html) 

 Keadaan ini menunjukkan bahawa proses pembangunan sebenarnya belum sepenuhnya berjaya untuk memenuhi matlamatnya untuk menghasilkan pertumbuhan dan membawa kesejahteraan hidup kepada seluruh penduduk dunia amnya. Faedah pembangunan yang telah terhasil kini telah tidak diagihkan secara sama rata sama ada antara negara ataupun di dalam negara, antara yang kaya dan yang miskin. Boleh dikatakan masalah kemiskinan semakin meningkat di banyak negara. 

Dalam hal ini banyak kajian telah menunjukkan masalah asas kegagalan itu adalah berkaitan dengan andaian yang mendasari pemikiran kenapa negara-negara kurang membangun itu berada dalam keadaan tersebut. Pendekatan dan pemikiran asas pembangunan ini menganggap negara-negara Dunia Ketiga atau negara kurang membangun sebagai satu kumpulan negara yang bersifat homogen. Dengan demikian, apa yang dianggap baik untuk negara-negara maju adalah juga dianggap baik untuk semua negara sedang membangun. Selain itu, terdapatnya anggapan bahawa untuk mengalami keadaan pembangunan seperti yang dinikmati negara maju, maka negara sedang membangun perlu melalui proses dan pengalaman pembangunan yang sama. Justeru, negara sedang membangun telah ternafi sejarah mereka sendiri, telah dikategorikan sebagai ‘mundur’ dan ‘tradisional’ dan kemudian dihulurkan ‘bantuan’ yang dianggap ‘sesuai’ untuk menghapuskan keadaan ‘mundur’ dan ‘tradisional’ yang telah dikenal pasti itu supaya jurang pembangunan dapat dihapuskan. 

 Modenisasi dan Globalisasi

 Globalisasi seperti juga modenisasi digandingkan dengan konsep yang muluk-muluk seperti ‘paradigm shift’, ‘global village’ ataupun ‘the boderless world’. Ia satu fenomena yang cukup berpengaruh dekad ini yang mampu memberi suatu cabaran dan berperanan untuk menwujudkan hambatan dalam pembangunan sesebuah negara. Tamadun yang cergas dan dinamik boleh mencetuskan serta mencorakkan globalisasi. Sebaliknya globalisasi boleh meninggalkan kesan yang positif dan tidak kurang juga negatif ke atas sesebuah tamadun. 

 Mengikut Prof. Osman Bakar (2008), fenomena globalisasi telah wujud dalam tamadun-tamadun lampau termasuk tamadun Islam. Dengan kemajuan sains dan teknologi Islam dahulu semua masyarakat dunia mengunjungi universiti-universiti Islam, mempelajari ilmu dan bahasa orang Islam dan menterjemahkannya ke bahasa mereka. Globalisasi Islam sebenarnya masih berjalan dan mempunyai impak serta implikasi besar misalnya melalui aktiviti Haji yang telah berjaya menghimpun seluruh umat Islam dari seluruh dunia di Mekkah di bawah gagasan idea Tauhid. Namun globalisasi bawaan Islam tidaklah sekejam globalisasi Barat yang bersifat memaksa kerana Barat mempunyai unsur kekuasaan, ketenteraan dan dominasi secara paksa atas orang lain.  Globalisasi dalam bentuk yang terselindung dan tersirat adalah lanjutan daripada proses imperialisme budaya dan bahasa yang berkembang sejak zaman penjajah pada abad ke-19. Pendorong utama ialah kemajuan telekomunikasi yang menprojeksikan keunggulan tamadun Barat sebagai model unggul tamadun dunia. 

Globalisasi dan modenisasi adalah ibarat dua muka pada wang siling yang sama, walaupun namanya berbeza tetapi nilai dan impaknya adalah serupa. Kesimpulan Kekurangan dan kelemahan teori diakotomi menyebabkan ia dikritik dan ditolak oleh banyak pihak. Namun dalam masyarakat yang baru merdeka dan ingin membentuk kemandirian ekonomi dan budaya, mereka menggangap ubat yang paling mujarab ialah melalui modenisasi dan menerima secara total faham globalisme. Pendefinisian yang jelas dan penilaian semula perlu dilakukan secara objektif terhadap sejauh mana wajarnya modenisasi dan globalisasi dalam pembinaan masyarakat Malaysia yang maju. 

 Senarai Rujukan 
 1. Frank. A. G. 1967. Sociology of Under-development and Under-development of Sociology. Catalyst (3):20-73. University of New York: Buffalo. 
2. Hagen, E. H . 1962. On The Teory of social Change. (an adaptation) Feffer & Simons Inc: New York. 3. Shamsul Amri. 1975. RMK Tujuan dan Perlaksanaanya: Satu Penilaian Teoritis. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
4. Shamsul Amri Baharuddin (ed.). 2007. Modul Hubungan Etnik. UPENA: Shah Alam 
5. Osman Bakar.2008. "Pengaruh Globalisasi Terhadap Peradaban" dalam Jurnal Peradaban, 1.Kuala Lumpur
 6. Wan Muhammad Ali. 1977. Islam dan Modenisma. Angkatan Belia Islam Malaysia: Kuala Lumpur.
 7. www.penerbit.ukm.my/jademik.html . Di lawati pada 9 hb. Ogos 2007

No comments:

Post a Comment