Thursday 17 May 2012

KONSEP MODENISASI

PEMODENAN baik pemodenan ekonomi ataupun pemodenan politik akan memberi impak besar terutama pada negara yang baru merdeka. Pemodenan dapat menstruktur semula negara yang baru merdeka berkenaan dan akan dirubah mengikut gaya baru yang sesuai dengan pihak/pemikir yang mempromosi pemodenan berkenaan. Pengertian tentang modenisasi agak pelbagai dan bergantung juga kepada zaman atau era-era tertentu dan pendekatan yang digunapakai oleh pemikirnya. Salah satu definisi yang agak semasa dan sederhana ialah modenisasi adalah pembangunan berencana yang distrukturkan dengan pendekatan ekonomi tertentu dan ia dibezakan dengan pembangunan yang tidak berencana yang selalu disinonimkan dengan pembaratan (Shamsul Amri Baharuddin,2007. 

 Namun modenisasi bukanlah satu gagasan yang bebas nilai dan boleh berdiri sendiri tanpa dikaitkan dengan latar sejarah gagasan itu dan juga aplikasinya. Walaupun konsep ini digunakan dengan definisi baru tetapi ia tidak dapat lari dari konotasi asal sebagaimana yang pernah digunakan oleh kebanyakan ahli-ahli sosiologi atau lebih khusus lagi ahli-ahli ekonomi pembangunan. Oleh itu asas teoritis konsep ini seperti yang lazim dipakai dalam ilmu sosiologi perlu difahami. Kritik terhadap modenisasi pula tidak boleh dilihat sebagai kritikan golongan kiri ataupun sebagai anti Barat. Sebaliknya ia adalah satu kritik yang sah dan dilakukan oleh ahli-ahli sosiologi pembangunan dalam negeri seperti Shamsul Amri Baharuddin (1977) dan juga ahli-ahli sosiologi pembangunan antarabangsa seperti A.G Frank (1967). Malah sarjana Islam juga menyuarakan kritik yang tajam terhadap modenisasi kerana sifatnya yang anti tradisi itu (Wan Muhammad Ali 1977). Untuk bersikap objektif terhadap gagasan ini dan kesannya, maka gagasan ini perlu diteliti asal-usulnya terutama dari segi epistimologi dan konteks penggunaannya. 

Kaitan Modenisasi dengan Teori Dalaman.

 Penelitian ke atas masyarakat di luar daripada tamadun Barat pada umumnya didominasi oleh Teori Dalaman[1]. Teori ini menganggap bahawa sesebuah bentuk masyarakat adalah ditentukan oleh sifat-sifat tertentu yang berupa ciri dalaman kepada masyarakat berkenaan dan terasing daripada pengaruh yang datang daripada lingkungan masyarakat antarabangsa. Teori Dalaman menumpukan penelitian kepada nilai, sikap dan motif sebagai sifat-sifat dalaman sesebuah masyarakat dan faktor inilah yang akan menentukan atau menggalakkan berlakunya perubahan dalam masyarakat berkenaan.Faktor-faktor dari luar seperti perubahan diperingkat antarabangsa ataupun negara jiran tidak akan membawa perubahan signifikan kepada masyarakat berkenaan. Mengikut teori ini halangan pembangunan dalam sesebuah negara ialah halangan dalaman, seperti sikap, adat dan lain-lain. 

Satu dimensi lain yang penting dalam teori dalaman ini ialah rangka kerjanya berdasarkan belahan atau diakotomi yang akan mewujudkan dua kategori atau dua kelompok idea yang bertentangan. Setiap kelompok itu terletak bersebelahan tetapi terpisah - kedua-duanya adalah berbeza. Antara jenis-jenis idea yang saling bertentangan ini ialah diakotomi antara moden - tradisional.Moden mempunyai ciri-ciri tertentu seperti berdasarkan kehendak pasaran, berintensifkan modal, berteknologi tinggi dan lain-lain manakala tradisi pula mempunyai ciri yang bertentangan dengan ciri moden. Ciri-ciri terasnya ialah bersifat cukup hidup, berintensifkan tenagan empat kerat selain daripada menggunakan teknologi simple. Moden dan tradisi dalam teori dalaman ini di pertentangkan sehingga ia tidak dapat wujud serentak. 

 Dasar asas teori diakotomi ialah menerapkan idea bahawa masyarakat Barat dan masyarakat bukan Barat (atau dikenali sebagai Dunia Ketiga), yang juga bekas koloni kepada masyarakat Barat adalah dua bahagian yang terpisah. Masyarakat Barat dikelaskan sebagai masyarakat moden dan mereka telah mengalami perubahan daripada zaman tradisionalnya melalui proses modenisasi. Manakala masyarakat bukan-barat pula masih lagi berada pada peringkat tradisionalnya dan perubahan serta modenisasi boleh dicapai dengan berlakunya perubahan dalaman. Pendekatan dualisme yang dibayangi oleh faham etnosentrisme seperti ini sememang telah menjadi satu cara gaya sarjana barat dahulu melihat perubahan yang berlaku di luar wilayah mereka. Mereka mengambil sikap kaedah yang boleh digunapakai untuk mencapai permodenan di negara timur yang mereka jajah ialah melalui memajukan sistem pendidikan, melemahkan kuasa kepemimpinan tradisional seperti sistem politik feudal dan mengantikannya dengan politik demokratik dan juga memodenkan sistem komunikasi. 

 Pembangunan ekonomi seperti juga pemodenan politik telah menetapkan matlamat, kaedah dan ukuran pencapaian. Matlamat dalam pembangunan ekonomi ialah membawa kemajuan ekonomi, kaedah yang digunakan dalam pemodenan ialah dengan memajukan teknologi, membangunan pertanian supaya ala-ala industri, urbanisasi dan industrialisasi.

 Kesan Modenisasi ke Atas Dunia Ketiga 

 Modenisasi selalu dipandang sebagai sebagai kaedah terunggul dan penyelamat kepada negara yang baru maju dan merdeka. Di sebalik imej muluk yang dibawanya ia juga boleh diibaratkan duri dalam daging yang akan membawa masyarakat yang ghairah untuk berubah kepada kemunduran ekonomi dan kehilangan jatidiri. Mereka akan terperangkap dan tidak dapat keluar daripada pusingan ganas sistem kapitalis moden yang mereka tidak biasa lalui. 

 Sasaran awal yang cuba diruntuhkan oleh pemuka pemodenan ialah nilai-nilai atau sahaja yang berkaitan dengan sifat tradisional. Keadaan dalam tradisional dianggap statik atau jumud dan dikunci oleh adat resam yang dikeramatkan dan diperkukuhkan oleh sistem politik yang bercorak autoritarianisme. Manakala modenisasi pula selalu dianggap sebagai antitesis (lawan) tradisi. Oleh itu tiada nilai-nilai tradisi yang dapat wujud bersama dengan nilai moden. Satu-satunya pilihan yang ada untuk memodenkan sesebuah masyarkat mengikut skima permodenan barat ialah meninggalkan sama sekali unsur-unsur tradisional. Semua perubahan dalaman ini dianggap kunci perubahan yang penting kerana masyarakat tradisional disaluti oleh ciri-ciri keusangan dan lapuk dalam nilai, kepercayaan, sikap dan perwatakan anggota-anggotanya. Syarat ketat dan melampau seperti ini yang dituntut ke atas masyarakat dunia ketiga menyebabkan berlakunya tindakbalas yang juga keterlaluan. Mengikut Hagen (1962) ketaksuban terhadap nilai-nilai tradisi oleh sesetengah kelompok masyarakat adalah tindakbalas mereka terhadap pemodenan yang telah menghimpit jiwa dan raga mereka. Kemunculan golongan militan dan radikal yang menentang pemerintah pusat seperti di beberapa buah negara Amerika Latin adalah contoh himpitan permodenan ini. 

 Jikapun tiada pertentangan terbuka dari masyarakat awam, proses modenisasi yang berteraskan kapitalisme barat akan menyebabkan negara-negara yang mulanya mengamalkan sistem ekonomi tradisional terpaksa mengorbankan beberapa budaya material seperti kraf tradisi mereka, teknologi dan pengetahuan tempatan sehinggalah kepada identiti mereka sendiri. Contoh yang paling ketara ialah kesan yang menimpa masyarakat arang asli di Malaysia. Modenisasi yang dipaksakan ke atas mereka menyebabkan mereka tidak lagi berkebolehan mempraktikan sains (ilmu) dan teknologi (peralatan tradisional) yang pernah mereka warisi dari luluhur mereka. Malah pengetahuan tentang herba dan tumbuhan hutan yang dulunya menjadi sebahagian daripada habitat mereka juga turut hilang. Ini berlaku kerana penempatan baru mereka dan cara hidup baru yang diperkenalkan kepada mereka menjauhkan mereka dari segi bathin dan fizikal dengan ilmu-ilmu tradisional ini. Baik kepada masyarakat orang asli maupun pada peringkat negara-negara yang telah merdeka, kerana terlalu bergantung kepada bantuan-bantuan kerajaan ataupun negara pemberi bantuan yang tak pernah putus-putus maka wujud pengantungan yang berterusan dan hal ini dikonsepsikan oleh A.G.Frank (1971) sebagai Teori Pengantungan atau Dependency Theory. Walaupun atas alasan masyarakat yang masih ketinggalan juga berhak menikmati kemajuan yang dibawa oleh pemodenan dan pembuanaan tetapi mereka selalunya adalah dipihak yang kecundang. Yang dikejar tak dapat, yang dikendung keciciran. 

Ahli-ahli sains sosial di Malaysia juga mengkritik pemodenan yang berat sebelah ini. Mengikut mereka walaupun terdapat beberapa perubahan yang nampaknya seperti kejayaan-kejayaan, namun masih terdapat banyak isu dan masalah berkaitan pembangunan yang perlu ditangani dan diselesaikan. Sebenarnya di banyak negara, keperluan asas untuk kehidupan yang relatifnya memuaskan dan produktif masih belum diperolehi. Antara masalah yang masih belum terselesai sungguhpun terdapat pertumbuhan ekonomi dalam negara-negara tertentu ialah masalah kemiskinan dan ketaksamaan, pengangguran, juga social dislocation. Bahkan, dari segi realitinya jurang antara negara kaya dan negara miskin semakin melebar. Boleh dikatakan jurang ini merupakan antara ciri utama pertumbuhan pada abad ke-20 yang lepas. Begitu juga jurang antara golongan berada dan golongan termiskin dalam sesebuah negara (Ketua Editor Jurnal Akademika 64 - Atas talian, www.penerbit.ukm.my/jademik.html) 

 Keadaan ini menunjukkan bahawa proses pembangunan sebenarnya belum sepenuhnya berjaya untuk memenuhi matlamatnya untuk menghasilkan pertumbuhan dan membawa kesejahteraan hidup kepada seluruh penduduk dunia amnya. Faedah pembangunan yang telah terhasil kini telah tidak diagihkan secara sama rata sama ada antara negara ataupun di dalam negara, antara yang kaya dan yang miskin. Boleh dikatakan masalah kemiskinan semakin meningkat di banyak negara. 

Dalam hal ini banyak kajian telah menunjukkan masalah asas kegagalan itu adalah berkaitan dengan andaian yang mendasari pemikiran kenapa negara-negara kurang membangun itu berada dalam keadaan tersebut. Pendekatan dan pemikiran asas pembangunan ini menganggap negara-negara Dunia Ketiga atau negara kurang membangun sebagai satu kumpulan negara yang bersifat homogen. Dengan demikian, apa yang dianggap baik untuk negara-negara maju adalah juga dianggap baik untuk semua negara sedang membangun. Selain itu, terdapatnya anggapan bahawa untuk mengalami keadaan pembangunan seperti yang dinikmati negara maju, maka negara sedang membangun perlu melalui proses dan pengalaman pembangunan yang sama. Justeru, negara sedang membangun telah ternafi sejarah mereka sendiri, telah dikategorikan sebagai ‘mundur’ dan ‘tradisional’ dan kemudian dihulurkan ‘bantuan’ yang dianggap ‘sesuai’ untuk menghapuskan keadaan ‘mundur’ dan ‘tradisional’ yang telah dikenal pasti itu supaya jurang pembangunan dapat dihapuskan. 

 Modenisasi dan Globalisasi

 Globalisasi seperti juga modenisasi digandingkan dengan konsep yang muluk-muluk seperti ‘paradigm shift’, ‘global village’ ataupun ‘the boderless world’. Ia satu fenomena yang cukup berpengaruh dekad ini yang mampu memberi suatu cabaran dan berperanan untuk menwujudkan hambatan dalam pembangunan sesebuah negara. Tamadun yang cergas dan dinamik boleh mencetuskan serta mencorakkan globalisasi. Sebaliknya globalisasi boleh meninggalkan kesan yang positif dan tidak kurang juga negatif ke atas sesebuah tamadun. 

 Mengikut Prof. Osman Bakar (2008), fenomena globalisasi telah wujud dalam tamadun-tamadun lampau termasuk tamadun Islam. Dengan kemajuan sains dan teknologi Islam dahulu semua masyarakat dunia mengunjungi universiti-universiti Islam, mempelajari ilmu dan bahasa orang Islam dan menterjemahkannya ke bahasa mereka. Globalisasi Islam sebenarnya masih berjalan dan mempunyai impak serta implikasi besar misalnya melalui aktiviti Haji yang telah berjaya menghimpun seluruh umat Islam dari seluruh dunia di Mekkah di bawah gagasan idea Tauhid. Namun globalisasi bawaan Islam tidaklah sekejam globalisasi Barat yang bersifat memaksa kerana Barat mempunyai unsur kekuasaan, ketenteraan dan dominasi secara paksa atas orang lain.  Globalisasi dalam bentuk yang terselindung dan tersirat adalah lanjutan daripada proses imperialisme budaya dan bahasa yang berkembang sejak zaman penjajah pada abad ke-19. Pendorong utama ialah kemajuan telekomunikasi yang menprojeksikan keunggulan tamadun Barat sebagai model unggul tamadun dunia. 

Globalisasi dan modenisasi adalah ibarat dua muka pada wang siling yang sama, walaupun namanya berbeza tetapi nilai dan impaknya adalah serupa. Kesimpulan Kekurangan dan kelemahan teori diakotomi menyebabkan ia dikritik dan ditolak oleh banyak pihak. Namun dalam masyarakat yang baru merdeka dan ingin membentuk kemandirian ekonomi dan budaya, mereka menggangap ubat yang paling mujarab ialah melalui modenisasi dan menerima secara total faham globalisme. Pendefinisian yang jelas dan penilaian semula perlu dilakukan secara objektif terhadap sejauh mana wajarnya modenisasi dan globalisasi dalam pembinaan masyarakat Malaysia yang maju. 

 Senarai Rujukan 
 1. Frank. A. G. 1967. Sociology of Under-development and Under-development of Sociology. Catalyst (3):20-73. University of New York: Buffalo. 
2. Hagen, E. H . 1962. On The Teory of social Change. (an adaptation) Feffer & Simons Inc: New York. 3. Shamsul Amri. 1975. RMK Tujuan dan Perlaksanaanya: Satu Penilaian Teoritis. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
4. Shamsul Amri Baharuddin (ed.). 2007. Modul Hubungan Etnik. UPENA: Shah Alam 
5. Osman Bakar.2008. "Pengaruh Globalisasi Terhadap Peradaban" dalam Jurnal Peradaban, 1.Kuala Lumpur
 6. Wan Muhammad Ali. 1977. Islam dan Modenisma. Angkatan Belia Islam Malaysia: Kuala Lumpur.
 7. www.penerbit.ukm.my/jademik.html . Di lawati pada 9 hb. Ogos 2007

ETNIK BANJAR



1.0       PENGENALAN
Ramai yang menyedari bahawa masyarakat Malaysia terdiri daripada pelbagai bangsa yang bersatu di bawah lembayung negara yang makmur iaitu, Malaysia. Namun yang demikian, peratusan yang mengetahui kesemua suku yang menjadi penduduk di Malaysia masih boleh dibilang dengan jari. Ramai yang tidak mengetahui bahawa, rumpun masyarakat Melayu terdiri daripada beberapa suku kaum yang berbeza.
Etnik Banjar merupakan salah satu suku kaum yang terdapat dalam rumpun Masyarakat Melayu. Walaupun sejarah kedatangannya hampir sama dengan masyarakat Jawa namun, ramai yang tidak mengetahui mengenai etnik Banjar ini. Seperti etnik lain, etnik Banjar juga merupakan masyarakat yang kompleks dan mempunyai sejarah yang tersendiri di negara ini.  Tradisi Banjar serta adat istiadatnya telah mengalami proses asimilasi daripada Jawa dan Dayak. Justera itu, tidak hairanlah sekiranya berlaku pertembungan adat tradisional ketiga-tiga kaum tersebut.
Dalam pendokumentasian ilmiah pada kali ini, hasil tugasan ini akan dirungkai melalui penulisan esei berkenaan dengan tajuk yang dipilih. Oleh yang demikian, dalam tugasan kali ini, kumpulan yang dianggotai oleh Khairul Azman bin Abu Hassan, Nur Shera Nabila binti Abdul Aziz dan Mariatul Qibtiah telah mencapai persetujuan untuk memilih etnik Banjar sebagai etnik kajian kami.
Justeru, penulisan esei ini akan merungkai sejarah kedatangan etnik Banjar ke Malaysia juga merungkai kebudayaan yang terbahagi kepada dua bahagian iaitu budaya kebendaan dan budaya bukan kebendaan. Budaya kebendaan terdiri daripada pakaian, makanan, seni tari dan senibina rumah. Manakala, bagi budaya bukan kebendaan, aspek ini akan merungkai etnik Banjar daripada agama dan kepercayaan, adat resam dan bahasa. Oleh yang demikian, diharapkan agar penulisan ini dapat membantu dalam memahami dan mengenali etnik Banjar dengan lebih holistik.



2.0       SEJARAH KEDATANGAN ETNIK BANJAR KE TANAH MELAYU
Sebenarnya, Orang Banjar yang datang ke Tanah Melayu adalah berasal dari Kalimantan, Indonesia, di kawasan selatan Basin Barito, terutama sekali dari daerah Banjar Masin, iaitu pusat bandar daerah itu yang terletak di bahagian tenggara Borneo. Di antara daerah-daerah utama tempat asal orang Banjar tersebut ialah dari daerah Balangan, Amuntai, Alai, Hamandit, Margasari dan Martapura. Sebahagian dari mereka juga berasal dari Sumatera Tengah di kawasan Bukit Tinggi dan Sepat yang terkenal sebagai kawasan penanaman padi. Oleh demikian, ramai yang berpendapat bahawa mereka yang berhijrah ke Tanah Melayu adalah merupakan petani-petani yang mahir dalam penanaman padi. Di samping itu, pekerjaan khusus seperti melukis, tukang permata dan berniaga juga dikatakan mahir dilakukan oleh mereka. Pekerjaan inilah yang membezakan mereka dari suku-suku bangsa lain di daerah orang-orang Dayak yang tinggal lebih ke utara barat Banjar Masin. Masyarakat ini juga dikenali dengan kemahiran membuat peralatan dari besi, seperti peralatan pertanian dan senjata. Kebanyakan mereka suka tinggal di lembah beberapa buah sungai seperti di sepanjang lembah Sungai Barito dari Banjar Masin hingga ke Asuntai dan Tanjung di utara.
Antara maklumat lain, turut dikatakan bahawa Suku Banjar yang tinggal di Sumatera dan Malaysia merupakan anak cucu dari para penghijrah etnik Banjar yang datang dalam tiga gelombang migrasi besar. Bagi golongan mingrasi pertama, penghijrahan telah berlaku pada tahun 1780 ke pulau Sumatera. Etnik Banjar yang menjadi pendatang ketika itu adalah para penyokong Pangeran Amir yang kalah dalam perang saudara Kerajaan Banjar, iaitu Pangeran Tahmidullah. Mereka terpaksa melarikan diri dari wilayah Kerajaan Banjar kerana sebagai musuh politik mereka sudah dijatuhkan hukuman mati.
Bagi golongan migrasi kedua, pada tahun 1862 terjadi lagi penghijrahan besar-besaran ke pulau Sumatera. Etnik Banjar yang menjadi pendatang ialah para pendukung Pangeran Antasari dalam kemelut Perang Banjar. Mereka terpaksa melarikan diri dari pusat pemerintahan Kerajaan Banjar di kota Martapura atas alasan yang sama. Pasukan Residen Belanda yang menjadi musuh mereka dalam Perang Banjar yang sudah menguasai kota-kota besar di wilayah Kerajaan Banjar. Bagi golongan migrasi ketiga pula, etnik Banjar kembali melakukan penghijrahan besar-besaran ke pulau Sumatera pada tahun 1905. Kali ini mereka terpaksa melakukannya kerana Sultan Muhammad Seman yang menjadi Raja di Kerajaan Banjar ketika itu mati syahid di tangan Belanda. Penghijrahan suku Banjar ke Sumatera khususnya ke Tembilahan, Indragiri Hilir sekitar tahun 1885 di masa pemerintahan Sultan Isa, raja Indragiri sebelum raja yang terakhir.
Dalam masa-masa tersebut, suku Banjar juga berhijrah ke Malaysia antara lain ke negeri Kedah, Perak (Kerian, Sungai Manik, Bagan Datoh), Selangor (Sabak Bernam, Tanjung Karang), Johor (Batu Pahat) dan juga negeri Sabah (Sandakan, Tenom, Keningau, Tawau) yang dikenali sebagai Banjar Melau. Daerah yang paling ramai terdapat etnik Banjar di Malaysia adalah daerah Kerian di Negeri Perak Darul Ridzuan. Tarikh migrasi masyarakat ini ke Tanah Melayu tidak dapat dipastikan, tetapi menurut Afred Bacon Hudson seorang pengkaji orang Banjar, migrasi ini bermula dalam pertengahan abad ke 19. Penempatan yang awal sekali dapat dikesan ialah di Batu Pahat, Johor. Pada masa itu, mereka dikatakan sering berulang alik berdagang dan berniaga kelapa kering melalui Siak, Bentan, Inderagiri terus ke Batu Pahat dan Singapura. Selain daripada itu Bagan Datoh di Perak juga dikatakan tempat pertapakan awal masyarakat ini di Tanah Melayu.
Dari Batu Pahat, mereka berpecah ke kawasan lain. Mereka masih lagi manjalankan aktiviti yang serupa seperti bertani, berkebun getah, kelapa dan sebagainya. Pada masa kini, masyarakat Banjar boleh didapati di beberapa kawasan pantai barat, terutamanya di kawasan penanaman padi seperti di daerah Kerian, Sungai Manik dan Bagan Datoh di Perak, Sabak Bernam dan Tanjong Karang di Selangor serta Batu Pahat di Johor. Di Sabah pula, orang Banjar terdapat di Sandakan, Tenom, Keningau dan Tawau. Orang Banjar ini pula terbahagi kepada beberapa puak dan di antara yang terbesar ialah Tanjung dan Kalua dari daerah Balangan, Amuntai dari daerah Amuntai, Barabai dari daerah Alai, Nagara dan Kandangan dari daerah Hamandit, Rantau dari daerah Margasari dan Martapura dari daerah Martapura. Masyarakat ini sering mengidentifikasikan diri mereka berdasarkan daerah tempat asal-usulmereka di Tanah Banjar.
Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan penghijrahan suku Banjar terutamanya ke Tanah Melayu. Selain daripada faktor perdagangan, kemiskinan yang mencengkam kehidupan orang Banjar di tempat asal mereka juga telah mendorong penghijrahan ke Tanah Melayu. Keadaan mereka di Tanah Banjar agak sukar kerana tanah pertanian mereka sering menghadapi ancaman binatang buas. Faktor ini ditambah lagi dengan kemelaratan yang dihadapi di bawah pemerintahan penjajah Belanda yang terlalu menindas masyarakat tempatan dengan pelbagai cukai dan peraturan yang tidak munasabah. Di samping itu, mereka tertarik dengan kemakmuran kehidupan di Tanah Melayu pada masa itu yang dikhabarkan oleh pedagang-pedagang yang berulang-alik ke Tanah Melayu. Pihak penjajah British di Tanah Melayu pula amat menggalakkan penghijrahan masyarakat dari Indonesia untuk membuka dan mengerjakan kawasan pertanian yang baru kerana masyarakat tersebut amat terkenal dengan sifat tabah dan gigih dalam menghadapi cabaran hidup.
Sebenarnya, menurut Qamaruz Zaman Ismail, Bekas Ahli Parlimen Bagan Serai,  dipetik dalam rencana Berita Harian “Orang Banjar Warisi Darah Pejuang” (Isnin, 12 Mac 2012) yang disunting oleh Azrul Affandi Sobry mengatakan bahawa, “ada dua kelompok penghijrahan orang Banjar ke negara ini iaitu mereka yang mahu bebas daripada masalah dan tekanan di Banjar Masin serta sekelompok lagi ialah pendakwah. Mereka yang lari dan mahu bina kehidupan baru telah memilih untuk mengasingkan diri dan tinggal jauh di dalam hutan. Mereka ini tidak begitu disegani orang tempatan kerana masalah bahasa.
Atas sebab pelbagai tekanan itu, ditambah dengan peluang mengembangkan sumber ekonomi melalui pertanian yang terbuka di Tanah Melayu menyebabkan ramai terpaksa berhijrah. Penghijrahan ini sebenarnya berlaku secara berperingkat tetapi semakin hebat pada pertengahan abad ke-19.



3.0       CIRI-CIRI MASYARAKAT BANJAR
Menurut rencana Berita Harian pada 15 Mac 2012 yang ditulis oleh Azrul Affandi Sobry, orang Banjar sememangnya terkenal dengan karektor tegas. Sinonimnya mereka dengan sifat kepahlawanan bukan hanya omongan kosong yang tiada buktinya. Hal ini terbukti dengan tindakan mereka meredah lautan meneroka tanah negara orang sudah cukup menunjukkan keberanian. Golongan masyakat Banjar kini memonopoli sebahagian kawasan seperti Kerian, Sungai Manik, Sabak Bernam dan sebahagian kawasan di utara semenanjung.
Masyarakat Banjar dikatakan panas baran dan tegas. Hal ini mungkin disebabkan oleh sejarah masyarakat itu sendiri yang sentiasa berdepan dengan krisis peperangan menuntut hak mereka. Tambahan pula, orang Banjar memang sejak dulu lagi terkenal dengan sikap mudah naik radang. Sekiranya seseorang dari luar masuk ke kawasan kampung orang Banjar dengan memakai kopiah senget, orang kampung akan perbetulkan dan memberi teguran kerana pemakaian sebegitu dianggap samseng. Orang Banjar dikatakan gemar bergaduh dengan masyarakat yang lain. Mungkin kerana itu, masyarakat ini lebih terpencil dan tidak bergaul dengan masyarakat lain selain mengalami permasalahan bahasa. Penggunaan senjata biasanya disebut (lading), parang panjang atau badik juga tidak asing lagi bagi mereka terutamanya ketika berlaku pergaduhan. Selain itu juga, dipercayai bahawa setiap keluarga orang Banjar pasti menyimpan sebilah parang panjang di rumah masing-masing untuk menjaga keselamatan mereka.
Selain itu juga, menurut orang sumber lagi iaitu En. Samsudin bin Jilani, sebenarnya orang Banjar memang pantang dicabar. Walaupun sikap itu terbawa-bawa sehingga hari ini, namun dalam konteks positif di mana mereka terkenal sebagai pesaing hebat dalam semua bidang. Semantelahan, orang Banjar juga terkenal dengan sikap garang. Sikap garang ini dikatakan sudah sebati dengan diri masyarakat Banjar. Pisau belati dijadikan senjata wajib bagi orang Banjar suatu ketika dahulu. Mungkin kerana didikan sejak kecil kerana anak yang berani akan dipuji.
            Selain itu juga, penghijrahan masyarakat dari luar, ternyata membentuk struktur hidup penduduk Malaysia dan ia lebih banyak bergantung kepada kehidupan di tanah asal kedatangan. Apabila difokuskan kepada orang Banjar ke negara ini, masyarakat ini lebih dekat dikaitkan dengan orang Jawa yang lebih terarah kepada pemugaran tanah dan mengusahakan pertanian. Mereka akan memulakan sesuatu perkampungan dengan nama awal Parit, seperti juga orang Jawa yang menunjukkan mereka sudah memulakan sistem perairan untuk tanah pertanian yang ditulis oleh Azrul Affandi Sabry.
            Di negara ini orang Banjar dikaitkan dengan sistem tebuk iaitu mereka membina penempatan di dalam hutan dengan adanya lorong kecil untuk ke perkampungan kecil yang mempunyai sistem pertanian terancang. Orang Banjar tidak memfokuskan kepada satu jenis tanaman sahaja tetapi mereka akan menggunakan setiap ruang yang ada untuk menambahkan hasil tanaman dengan tanaman-tanaman yang lain. Selain itu, sebelum mereka membina rumah, perkara utama yang bakal mereka akukan adalah membuat parit yang akan memboehkan bekalan air sampai ke semua kebun dan seterusnya sawah padi di hujung tanah sebelum akhirnya dilimpahkan ke sungai. Hal ini dapat mengelakkan mereka daripada banjir.
            Menurut Wan Ahmad Arshad, kepintaran orang Banjar masih boleh dilihat dalam pembinaan rumah seperti rumah yang dibina oleh Abdu Hamid Al-Banjari iaitu dipanggil rumah Ganal atau besar yang dibina sendiri pada tahun 1890 dan masih utuh sehingga kini. Beberapa faktor yang menjadi keutamaan ketika membina rumah adalah mereka akan membuat sistem perparitan yang terbaik bagi tujuan kawalan banjir, mengairi sawah serta dalam masa yang sama untuk menternak ikan. Hal ini pernah diakui oleh Britain sebagai sistem perparitan terbaik pada zaman penjajahan.
            Manakala sekitar rumah orang Banjar pula akan ditanam dengan pelbagai tanaman seperti labu di batas sawah, tebu dan kelapa pula untuk mengisi kekosongan di sekitar rumah. Uniknya masyarakat Banjar ini mereka tinggal di daam kelompok keluarga yang bermaksud rumah di antara saudara-mara berada di dalam tebuk yang sama.
            Ada logiknya kenapa orang Banjar mempunyai kemahiran di dalam bidang pertanian. Hal ini kerana faktor geografi di Banjarmasin kerana di sana iklim dan rupa buminya sangat bersesuaian dengan tanaman tropika. Oeh itu, masyarakat Banjar boleh dibahagikan kepada dua iaitu golongan pertama hanya berfokus kepada pendapatan hasil pertanian, manakala golongan kedua adaah mereka yang turut melakukan kerja-kerja sampingan seperti bertukang, menangkap ikan, mencari kayu, rotan, damar dan sebagainya.

4.0       KEBUDAYAAN KEBENDAAN
4.1       Makanan
Menurut temuramah yang telah dijalankan iaitu Encik Samsudin Bin Jilani berumur 62 tahun beliau telah menceritakan serba sedikit mengenai masyarakat Banjar. Beliau adalah seorang pesara dan berketurunan Banjar serta tinggal di Parit Buntar yang merupakan tempat majoriti bagi masyarakat Banjar. Menurut beliau, Masyarakat banjar juga terkenal dengan pelbagai makanan dan manisan yang menjadi juadah kepada masyarakat ini sejak dahulu hinggalah sekarang.
Antara makanan tersebut adalah wadai kepeng. Wadai kepeng ini pada masa dahulu disediakan selepas selesai menanam padi ataupun di sebarang majlis doa kesyukuran atau doa selamat (rujuk gambar 1). Proses menyediakan kuih ini tidaklah sukar dan selalunya masyarakat Banjar akan membuatnya secara bergotong-royong. Cara menyediakan wadai kepeng ini adalah menggunakan tepung pulut, garam dan air suam. Semua bahan tersebut akan diuli bersama sehingga menjadi doh. Kemudian doh tersebut perlu diambil di dalam kuantiti yang sedikit dan bentukkan menjadi bulat kemudian dipicit sedikit agar menjadi leper.
Seterusnya, proses membuat kuahnya pula adalah menggunakan santan, air, gula putih, gula merah dan garam. Semua bahan itu akan dimasak bersama sehingga mendidih. Apabila kuah tersebut mendidih barulah dimasukkan adunan tepung yang telah dibentuk tadi. Kesemua bahan tersebut perlu dikacau supaya tepung tadi tidak melekat. Bagi memastikan bahawa juadah ini telah siap dimasak adalah dengan melihat tepung tersebut telah timbul kemudian tenggelam kembali ke dalam kuah.

Gambar 1: menunjukkan makanan masyarakat Banjar, wadai kepeng.
            Salah satu makanan yang popular bagi masyarakat banjar adalah kuih kalakatar (rujuk gambar 2 dan gambar 3). Menurut orang sumber, En. Samsudin lagi, kuih ini hampir sama seperti bengkang tetapi cara membuatnya menggunakan isi kelapa muda dan air kelapa muda. Kuih ini enak dimakan semasa panas. Cara membuat kuih ini dianggap renyah oleh itu sukar untuk membuatnya dan masih ramai orang banjar yang tidak mahir untuk membuat kuih ini.
Menurut seorang lagi orang sumber iaitu Pn. Salamiah binti Hj. Abdul Rashid yang berusia 78 tahun, resipi bagi menyediakan kuih ini adalah dua cawan tepung gandum, satu biji telur ayam, gula secukup rasa dan sedikit garam. Kemudian campurkan campuran air dan isi kelapa muda, tepung, gula, telur dan garam hingga sebati. Ambil bekas untuk memasak, sapukan sedikit minyak pada bekas berkenaan dan masukkan adunan kuih ke dalam bekas berkenaan. Kuih ini boleh dimasak dengan cara bakar mahupun kukus. Namun kebanyakkan orang yang menjual kuih ini akan memasaknya dengan cara bakar. Kuih ini ternyata enak dimakan dan hanya terdapat di kawasan yang mempunyai masyarakat banjar. , jika di tempat responden kuih ini akan banyak dijual ketika bulan Ramadhan.

Gambar 2: menunjukkan kuih kalakatar yang dimasak secara bakar atau kukus

Gambar 3: menunjukkan kuih kalakatar yang digemari dalam masyarakat Banjar.
            Seterusnya adalah kuih balongan ahyam merupakan kuih tradisional yang diwarisi turun-temurun daripada nenek moyang masyarakat Banjar yang datang dari Banjarmasin Indonesia. Menurut Pn. Salamiah, kebiasaannya, sebelum ini, kuih tersebut hanya disediakan untuk hidangan keluarga pada bulan Ramadan tetapi sudah dipasarkan bagi menambah pendapatan keluarga. Kuih ini tidak terlalu susah untuk dibuat kuih  kerana ia hanya mengunakan bahan seperti kelapa, gula merah, gula putih, daun pisang dan dikukus selama 15 minit (rujuk gambar 4). Rasanya pula enak manis seperti dodol.

Gambar 4: menunjukkan kuih balongan ahyam
            Seterusnya, masyarakat Banjar juga mempunyai lauk tradisi iaitu ikan wadik (rujuk gambar 5). Makanan ini seakan-akan pekasam namun tidak masam. Cara penyediaan ikan wadik ini adalah dengan menggunakan ikan daripada jenis ikan darat seperti sepat atau puyu yang banyak terdapat di kawasan penanaman padi. Memandangkan Daerah Kerian merupakan salah satu tempat pengeluar padi yang terbesar maka bagi mencari ikan dari jenis ini adalah tidak sukar diperolehi dan banyak didapati di sini.
            Menurut orang sumber iaitu En. Samsudin, bagi penyediaan ikan wadik ini, ikan-ikan tersebut akan diletakkan di dalam guri atau balang. Ikan tersebut akan disusun secara berlapis-lapis sambil meletakkan garam di atas ikan tersebut. Terdapat juga orang yang menyediakan ikan ini menaburkan beras goreng atau asam keping di dalamnya. Untuk menikmati ikan tersebut perlu menunggu sehingga sebulan bagi memastikan ikan-ikan tersebut benar-benar terperap dan sebati dengan bahan-bahan yang telah dimasukkan di dalam ikan tersebut. Cara memasak ikan wadik ini adalah dengan menggoreng bersama bawang besar dan cili padi serta dimakan panas-panas bersama nasi putih. Hidangan ini nyata dapat membangkitkan selera kepada orang yang menikmatinya.

Gambar 5: menunjukkan makanan tradisi etnik Banjar iaitu ikan wadik.
Sebenarnya, terdapat banyak lagi makanan yang terdapat dalam masyarakat Banjar. Kesemuanya melambangkan keunikan dan keistimewaan etnik ini dalam mempertahankan identiti etnik Banjar.

4.2       Seni Bina/Rumah
Rumah Adat Banjar adalah rumah tradisional suku Banjar. Arkitektur tradisional ciri-cirinya yangmempunyai perlambang, mempunyai penekanan pada atap, ornamental, dekorasi dan simetris.
Rumah tradisonal Banjar adalah jenis-jenis rumah khas Banjar dengan gaya dan ukirannya yang tersendiri mulai sebelum tahun 1871 hingga tahun 1935. Umumnya rumah tradisional Banjar dibangun dengan beranjung (ba-anjung) iaitu sayap bangunan yang menjorok dari samping kanan dan kiri bangunan utama kerana itulah disebut Rumah Baanjung. Anjung merupakan ciri khas rumah tradisional Banjar, walaupun ada pula beberapa jenis Rumah Banjar yang tidak beranjung (rujuk gambar 6).
Menurut Pn. Samsiah binti Hj. Abd. Rashid, jenis rumah yang paling bernilai tinggi adalah Rumah Bubungan Tinggi yang biasanya dipakai untuk bangunan keraton (Dalam Sultan). Jadi nilainya sama dengan rumah joglo di Jawa yang diguna sebagai keraton. Keagungan seorang pemimpin pada masa pemerintahan kerajaan diukur oleh jumlah ukuran dan kualiti seni serta kemegahan bangunan-bangunan kerajaan khususnya istana raja (Rumah Bubungan Tinggi). Pada pandangan beliau, dalam suatu perkampungan suku Banjar terdiri dari pelbagai jenis rumah Banjar yang mencerminkan status sosial mahupun status ekonomi pemilik rumah. Dalam kampung tersebut rumah dibangun dengan pola linear mengikuti arah aliran sungai mahupun jalan raya terdiri dari rumah yang dibangun mengapung di atas air, rumah yang didirikan di atas sungai mahupun rumah yang didirikan di daratan, baik pada lahan basah (alluvial) mahupun lahan kering.

Gambar 6: menunjukkan rumah etnik Banjar. Anjung yang berjurai merupakan ciri istimewa rumah etnik ini.
Oleh yang demikian, jelaslah bahawa bukan sahaja tertumpu pada makanan, tetapi sebenarnya, etnik Banjar juga mempunyai identiti dengan seni bina rumahnya. Seni binanya yang unik membuktikan bahawa etnik Banjar merupakan etnik yang berdaya kreatif dan mempunyai keunikannya yang tersendiri.




4.3       Seni Tarian
Menurut Azrul Affandi Sobry dalam rencananya di Berita Harian (Khamis, 15 Mac 2012) mengatakan bahawa sebenarnya memang agak sukar untuk dipastikan sama ada dalam masyarakat Banjar, tarian yang ditari mencerminkan budaya masyarakat itu. Hal ini mungkin berikutan daripada sejarah kedatangan mereka ke negara ini sebagai masyarakat yang tinggi pegangan agamanya menjadikan jika adapun tarian di tanah asal, berkemungkinan ia tidak dibawa ke sini.
            Cuma perbezaaan etnik Banjar dengan etnik yang lain adalah dari segi berpakaian. Hal ini kerana, orang Banar sememangnya ada pakaian tradisinya yang turut digunakan dalam persembahan budaya. Pakaiannya juga ringkas dan sekadar mencerminkan imej masyarakat itu yang menjadi petani. Tidak seperti pakaian tradisi etnik yang lain, sarat dengan aksesori. Jika diperhatikan, sebenarnya masyarakat Banjar mempunyai rentak muzik yang tersendiri kerana rentak yang diiramakan mengadaptasi kegiatan harian etnik dan cara hidup yang diamalkan. Tarian yang terdapat dalam etnik ini mengadaptasi kegiatan harian ini dengan menyelitkan elemen kelembutan dan nilai seni tradisional yang tinggi selain membuktikan bahawa etnik ini sangat mementingkan pengekalan busana asal masyarakat ini (rujuk gambar 7).

Gambar 7: menunjukkan tarian Banjar yang menyelitkan keunikan hidup masyarakatnya.
            Menurut Azrul Affandi Sobry lagi dalam rencananya, tarian yang ditarikan mempamerkan kelembutan gadis Banjar menyambut tetamu dengan kata-kata indah serta lemah-gemalai gerak seni tari yang dicipta melambangkan seni tari kreatif dan keindahan bahasa dilafazkan. Secara kesimpulannya, jika dilihat sekali pandang, tarian yang memang lemah lembut ini sedikit menyerupai tarian inang di mana penarinya hanya menggerakkan tangan dan melangkah lembut tanpa gerak yang tangkas. Ulik tangan pun sekadar melentik ke kiri dan ke kanan penuh kelembutan.

4.4       Pakaian
Pakaian tradisional yang biasa dipakai dihari biasa oleh remaja dan orang dewasa kaum lelaki Banjar adalah seluar panjang yang menutup kaki. Sebagai pasangannya dikenakan kemeja lengan panjang dengan leher baju bulat. Bahagian dada terbelah berkancing tiga, tanpa poket. Pada saat-saat tertentu kelengkapan pakaian ini ditambah dengan kain sarung yang diletakkan di bahu. Sedangkan dalam acara-acara rasmi seperti menghadiri upacara adat seluar diganti dengan kain sarung. Warna yang digunakan oleh remaja lebih terang, dominan seperti warna kuning.
            Lelaki yang telah berusia bagi masyarakat Banjar pula mengenakan baju palimbangan, iaitu kemeja berlengan panjang dengan leher baju bulat dilengkapi dengan butang lima dan mempunyai poket sebanyak tiga buah. Pasangannya digunakan kain sarung yang lazim disebut tapih kaling, sejenis sarung terbuat dari katun atau sutra bermotif garis-garis melintang dan membujur. Sebagai penutup kepala digunakan kopiah dari kain beludru, kain satin (kupiah Padang) atau kupiah jangang. Alas kakinya ada berbagai jenis, iaitu sandal kalipik, sandal tali silang, dan selop (rujuk gambar 8).
  
 
 
Gambar 8: menunjukkan cara berpakaian masyarakat Banjar dahulu dan sekarang. Perbezaan ini juga menunjukkan cara berpakaian bagi golongan tua dan golongan muda.
            Selain itu juga, menurut Pn. Samsiah binti Abd. Rashid, pakaian yang kerap dipakai para remaja dan orang tua kaum perempuan Banjar adalah baju kebaya berpasangan dengan kain batik (rujuk gambar 10). Menjadi kebiasaan setiap perempuan akan menyiapkan rambutnya dengan cara disanggul. Ada dua cara yang disebut galung malang babuntut dan galung malang. Sanggul ini berbentuk bundar seperti angka lapan. Buntut pada sanggul menunjukkan pemakainya masih gadis. Untuk wanita dewasa dikenakan baju kebaya basawiwi (basujab), kebaya biasa yang diberi variasi kain yang memanjang di bagian depan yang dinamakan sawiwi atau sujab selebar 10 cm.

5.0       KEBUDAYAAN BUKAN KEBENDAAN
5.1       Fahaman/Kepercayaan Dan Agama
Perkara ini sangat berkait rapat dengan keadaan mereka yang baru berhijrah dari Tanah Banjar ke Tanah Melayu yang masih asing bagi mereka. Jadi, bagi memastikan kebajikan mereka terjaga, mereka sentiasa tinggal dalam satu kelompok. Salah satu ciri terpenting wujud pada masyarakat tersebut pada masa itu ialah mendalamnya fahaman kesukuan. Menurut orang sumber, Pn. Samsiah binti Hj. Abd. Rashid, mereka merasakan orang-orang selain dari suku mereka dianggap orang luar. Keadaan inilah yang telah mempengaruhi perkembangan keperibadian dan corak pergaulan mereka. Menurut beliau lagi, jarang berlaku perkahwinan di luar suku Banjar. Justeru, mereka dapat mengekalkan ciri-ciri keperibadian yang tersendiri dalam msyarakat ini. Keadaan kehidupan mereka juga amat sederhana, rumah mereka dikatakan kosong kerana tidak mempunyai alat-alat perabut seperti kerusi, meja dan almari. Peralatan yang ada seperti tikar mengkuang yang dibentangkan ketika tetamu datang dan lain-lain perkakas yang mustahak sahaja.
Satu hal yang agak menarik juga ialah, masyarakat ini tidak suka bekerja makan gaji dengan kerajaan kerana mereka lebih suka bekerja sendiri khasnya dalam bidang pertanian. Perkara ini juga berkait dengan kebebasan untuk mereka membuat perkara-perkara sampingan khasnya untuk mendalami ilmu-ilmu keagamaan. Pekerjaan bertani khasnya penanaman padi mempunyai ruang masa yang banyak dan bebas untuk mereka melakukan perkara-perkara tersebut seperti ketika menunggu musim menuai dan seumpamanya. Kedudukan seseorang yang tinggi ilmu agama juga amat dihormati dan mendapat tempat yang istimewa di kalangan orang Banjar.
Menurut En. Samsudin bin Jilani, disebabkan kebanyakkan masyarakat banjar tinggal di kawasan penanaman padi maka terdapat satu budaya yang dinamakan berderau bagi aktiviti penanaman padi ini. Berderau dalam erti kata lain adalah menjalankan aktiviti penanaman padi secara berkumpulan. Aktiviti ini diadakan apabila musim penanaman padi bermula. Pemilik sawah padi akan disertai oleh beberapa orang yang datang membantu untuk menanam padi. Sebagai contoh, jika tuan pemilik tanah sawah padi ingin menanam padi, terdapat 10 orang yang datang untuk membantu menanam padi maka pemilik sawah tersebut harus membantu 10 orang itu untuk menanam padi mereka. Aktiviti ini menunjukkan satu sikap kerjasama yang baik antara pemilik sawah padi tersebut untuk membantu menanam padi selain mempercepatkan proses menanam padi.
Nilai yang diberikan ke atas seseorang individu dalam masyarakat ini adalah berdasarkan keahliannya dalam ilmu-ilmu agama Islam. Nilai-nilai seperti ini menjadikan masyarakat ini begitu kuat dan taat berpegang kepada ajaran Islam dan kepada kepimpinan yang ahli dalam bidang agama Islam. Perkembangan pendidikan secara formal yang wujud dalam masyarakat ini hanyalah berupa kelas membaca Al-Quran, mempelajari hal ehwal syariat Islam dan mendalami ilmu agama yang lain. Tambahan pula, kebanyakan orang Banjar yang berhijrah ke Tanah Melayu terdiri daripada mereka yang kuat pegangan agama Islam dan mengamalkan cara hidup yang sempurna. Oleh yang demikian, tidak hairanlah bahawa masyarakat Banjar ini amat condong terhadap perkara-perkara berkaitan agama Islam dalam kehidupan mereka.

5.2       Adat Resam/Budaya/Pantang Larang
5.2.1   Adat Perkahwinan
Asimilasi dalam perkahwinan di negara ini pastinya lebih menyerlah dan ketara kerana kebanyakannya berhijrah dari tanah lain. Lebih ketara adalah asimilasi dalam budaya perkahwinan melayu. Seperti yang kita ketahui, perkahwinan adalah satu sisi budaya yang unik dan berbeza bagi setiap masyakat dan etnik. Etnik Banjar juga tidak terlepas dari senarai asimilasi budaya perkahwinan ini. Pada masa sekarang, ramai yang mengakui bahawa semakin sukar untuk melihat pengantin Banjar mengenakan pakaian tradisional dan menjalankan adat perkahwinan asal mereka. Namun yang demikian, budaya perkahwinannya tidak akan dilupakan. Menurut Drs. Syarifuddin dalam Adat Melayu Serumpun, Abdul Latif Abu Bakar (2001) mengatakan bahawa, orang Banjar memandang perkahwinan sebagai sesuatu yang sangat penting. Menurut pandangan sebahagian besaro orang Banjar, akad nikah tanpa diikuti oleh upacara adat perkahwinan menimbulkan kecurigaan bahawa pengantin perempuan hamil sebelum bernikah.
Seperti istiadat perkahwinan masyarakat lain, perkahwinan dalam masyarakat Banjar juga berlangsung dalam keadaan meriah, tetapi dalam suasana yang cukup ringkas. Menurut Azrol Affandi Sobry dalam rencananya “Pengantin ‘Berpapai’ Sebelum Naik Rumah” (Sabtu, 17 Mac 2012) mengatakan bahawa, sebelum upacara perkahwinan berlangsung, mereka tidak ada adat merisik seperti kebanyakan masyarakat yang lain (rujuk gambar 9). Hal ini kerana, dalam masyarakat Banjar zaman dahulu, perkahwinan mereka berlangsung antara sesama saudara, seperti sepupu dan sebagainya. Upacara dimulakan apabila kedua-dua belah berkenaan, keluarga lelaki berjanji akan datang ke rumah perempuan selalunya pada waktu Isyak untuk menyatakan hajat mereka untuk meminang anak perempuan secara terus terang, (Khairi Muhammad Nor, Berita Harian, Sabtu 17 Mac 2012, dalam rencana yang ditulis Azrul Affandi Sobry).

Gambar 9: menunjukkan pengantin lelaki dan pengantin perempuan yang dirai dalam perkahwinan etnik Banjar.
Sekiranya pihak perempuan bersetuju, perjanjian akan dibuat untuk menentukan tarikh bila hendak diadakan majlis perkahwinan. Pada kebiasaannya, majlis perkahwinan diadakan selepas musim mengetam dan menuai padi. Hal ini disebabkan oleh bekalan beras yang dapat ditampungnya sendiri. Menurut adat masyarakat Banjar, kedua-dua bakal pengantin tidak dibenarkan berjumpa antara satu sama lain. Majlis akad nikah dalam masyarakat Banjar akan diadakan seminggu sebelum majlis kenduri berlangsung. Majlis akad nikah dalam masyarakat Banjar akan diadakan seminggu sebelum majlis kenduri berlangsung (Khairi Muhammad Nor, 2012).
Apabila pihak lelaki telah menghantar barang keperluan dan duit belanja, barulah pengantin perempuan boleh bersiap sedia untuk upacara ‘mandi adat’. Upacara ‘mandi adat’ atau ‘berpapai’ dijalankan di tempat khas yang dipanggil balai yang diperbuat daripada empat batang tiang yang diikat dengan batang tebu. Pada setiap batang tebu diikat mayang pinang dengan benang kuning dan digantung buah pisang, ketupat dan kuih cincin. Menurut Azrul Affandi Sobry (2012) lagi dalam rencananya, kawasan balai akan menempatkan bidan dan pembanti untuk memandikan pengantin dengan menggunakan upih pinang. Pengantin lelaki akan pergi ke rumah pengantin perempuan untuk upacara mandi bersama atau ‘mandi adat’. Pengantin lelaki dikehendaki memakai kain pelikat dan selendang manakala pengantin perempuan  pula memakai kain batik (kain telasan) dan selendang jarang ketika upacara dijalankan.
Kemudian, ketika hendak melangkah keluar daripada balai, mereka dikehendaki melakukan upacara pijak telur sebelum naik ke rumah. Selepas itu, kedua-dua pengantin duduk mengelilingi cermin, lampu, pelita atau lilin sebanyak tiga kali dengan dibantu oleh bidan. Selesai acara itu, lilin atau pelita ditiup sambil memasang niat. Upacara ini dinamakan ‘tahaba’ bermaksud bertembung dalam bahasa Melayu. Kemudian, pengantin perempuan pula tidak dibenarkan melihat wajah di cermin kerana dikhuatiri akan hilang seri wajahnya.
Pengantin disandingkan di tengah laman, di atas buaian sambil dipersembahkan pencak silat sembah dan diiringi paluan dua biji gendang serta satu gong. Ketika bersanding, hanya upacara bersalaman dengan pengantin sahaja yang dilakukan tanpa merenjis pengantin atau disebut sebagai ‘tepung tawar’ dalam masyarakat Melayu. Selain itu juga, pada hari persandingan tersebut diadakan majlis khatam Al-Quran pengantin dan tetamu diberikan bunga telur sebagai kenangan.
Menjelang malam, mereka sekali lagi disandingkan di dalam kelambu. Ketika ini, upacara makan di dalam kelambu diadakan iaitu makanan yang dimasak daripada barangan yang dibekalkan oleh pihak lelaki sebelum ini. Selepas selesai, pengantin lelaki keluar dari bilik dan pada ketika itu, dia berzanji dan bermarhaban sehingga pukul 12 tengah malam. Kemudian, barulah pengantin lelaki disuruh masuk semula ke dalam bilik untuk bertukar pakaian manakala pengantin perempuan disuruh melipat kain. Pada ketika ini, terdapat adat ‘bertaguran’ iaitu adat bertegur sapa. Selepas tiga hari, pihak perempuan dikehendaki mengadakan majlis bubur bayak atau berayak sebagai tanda selamat bertujuan menyelamatkan ‘kelambu’ atau perkahwinan yang baru dilangsungkan. Pada hari berikutnya, barulah kedua orang mempelai sudah boleh ‘bertaguran’ atau ‘bertegur sapa’.
Selain itu, pengantin juga akan melalui budaya ‘bergosok’. Dalam upacara adat ini, badan pengantin perempuan digosok oleh bidan untuk mengembalikan seri pengantin. Bahan yangh diperlukan untuk upacara ini ialah kulit kayu yang diperoleh daripada 44 pokok yang belum berbuah atau dikenali sebagai pokok dara. Terdapat pantang larang yang dipegang ketika mengambil kulit kayu tersebut. Doa dipohon kepada Nabi Ilias sambil menyeru nama pengantin yang berbintikan ibunya. Bahan lain yang digunakan dalam upacara bergosok ialah segenggam beras pulut yang digoreng tanpa minyak dan ditumbuk halus serta diayak, bertujuan mengeluarkan daki dari badan pengantin. Telur ayam dara, sedikit air, daun sirih bertemu urat, kapur yang dipangkah, gambir dan pinang, dilipat dan digulung serta disimpul kemudian, ditumbuk halus. Menurut Azrul Affandi bin Sobry (2012) lagi, bidan akan menggosok pengantin bermula dari pangkal hidung, dan terus naik ke atas. Dua tangan berpusing, dan diletakkan rata ke muka.
Sebenarnya, pengaruh agama Islam terhadap adat dan upacara perkahwinan orang Banjar sangat besar, (Drs. Syarifuddin dalam Adat Melayu Serumpun, Abdul Latif Abu Bakar, 2001). Hal ini mungkin disebabkan kebanyakan daripada masyakarat Baanjar merupakan penganut agama Islam. Terdapat dua pengaruh besar dalam adat perkahwinan orang Banjar iaitu pengaruh ekonomi dan pengaruh agama. Hal ini terbukti, apabila pengantin perempuan anak orang kaya biasanya akan menerima jujuran yang lebih banyak daripada pengantin perempuan anak orang miskin. Bagi pengantin lelaki pula, anak lelaki keluarga kaya perlu memberi jujuran yang lebih bayak daripada anak lelaki keluarga miskin. Hal ini memenuhi syarat, adat dan resepsi secara barat.
Menurut Abd. Rahman Hj. Abdullah (1985), sekiranya dahulu jodoh mereka ditentukan orang tua, mereka sekarang boleh memilih pasangan yang sesuai dengan pandangan hidup mereka.

5.2.2   Adat Masuk Rumah Baru
Dalam masyarakat Banjar, budaya masuk rumah baru bagi masyarakat ini menurut Khairi Muhammad Nor di dalam rencana yang ditulis Azrul Affandi Sobry, mereka perlu memastikan kepala tiang rumah dibalut dengan kain tiga warna. Duit syiling bernilai 10 sen atau 5 sen akan digunakan. Mereka akan membalut duit syiling tersebut dengan kain putih dan dimasukkan kepada kepala tiang itu. Semasa memasukkan duit syiling tersebut, mereka akan berniat supaya dimurahkan rezeki kepada orang yang masuk ke rumah itu. Orang ramai juga akan membacakan yasin dan selawat ketika tiang dinaikkan. Sekiranya terdapat tujuh tiang yang perlu dinaikkan maka ketujuh-tujuh tiang tersebut hendaklah dinaikkan dengan dimulakan dengan kepala tiang yang telah dimasukkan dengan duit syiling tersebut. Selepas gelegar dipasang barulah tetamu akan pulang dan jika kerja belum selesai maka mereka perlu datang pada keesokan harinya pula. Setelah selesai tuan rumah akan mengadakan kenduri.

5.2.3   Pantang Larang Wanita Hamil
Masyarakat Banjar juga mengamalkan pantang larang seperti orang Melayu yang lain. Antaranya bagi wanita hamil terdapat beberapa pantang larang yang perlu diikuti bagi mengelakkan berlakunya musibah. Terdapat banyak pantang larang bagi wanita yang hamil tetapi semuanya agak sama dengan masyarakat Melayu yang lain. Menurut Zahrah Ijan (2012) di dalam artikel Berita Harian oleh Azrul Affendi Sobry, pantang larang bagi wanita hamil masyarakat Banjar adalah mereka tidak dibenarkan duduk di tengah pintu. Hal ini boleh menyebabkan bayi yang bakal dilahirkan susah untuk keluar. Seterusnya, jika makan buah-buahan kulitnya tidak dibenarkan dibuang di dalam semak sebaiknya buang di tempat yang terbuka dan orang boleh melihatnya. Perkara ini disebabkan bayi yang dilahirkan nanti tidak disukai orang lain apabila dipandang.
            Selain itu, jika sedang makan dan ada orang yang datang ke rumah maka perlulah dipelawa orang tersebut untuk makan bersama. Jangan buat tidak endah sahaja kerana dikhuatiri anak dikatakan akan bisu dan sombong. Begitu juga apabila ada orang yang datang dan duduk di hadapan kita, jangan memalingkan muka atau membelakangi orang tersebut kerana anak yang bakal lahir tidak disukai orang lain.
            Bagi wanita yang bakal bersalin penggunaan air pelongsor sangat popular dan digunakan sehingga ke hari ini. Tujuan penggunaan air ini adalah bagi memudahkan proses melahirkan anak. Tempoh bagi wanita berpantang pula adalah selama 44 hari. Bagi wanita yang berpantang banyak makanan yang tidak boleh dimakan serta mereka akan mengamalkan minum air halia setiap hari. Amalan yang diamalkan sepanjang berpantang bagi orang Banjar adalah mereka akan menggunakan barut sepanjang bermeter-meter. Di dalam balutan ini akan dimasukkan pelbagai jenis herba seperti halia, jintan manis dan bawang putih. Kaki perempuan yang bersalin juga akan dibedung supaya tidak boleh terlalu mengangkang. Manakala selepas 10 hari, akan dilakukan urutan supaya dapat menaikkan peranakan dan urutan akan dilakukan sebanyak 3 kali.

5.2.4   Adat Menanam Uri
Selain daripada adat perkahwinan, terdapat beberapa lagi adat yang semakin dilupakan dan semakin ditinggalkan oleh masyarakat Banjar. Walau yang demikian, sebahagiannya masih diteruskan terutamanya di kawasan kampung kerana masih berada dalam kalangan mereka yang tinggal di dalam kawasan tersebut. Antaranya ialah kaedah menanam uri iaitu uri yang keluar bersama bayi dengan membasuh dan membaca bacaan tertentu sebelum ditanam. Kemudian, uri tersebut ditanam bersama sembilu, cabai, bawang, asam, garam dan dimasukkan ke dalam periuk tanah yang mempunyai lubang di bawahnya dan tidak dikambus.
Menurut Azrul Affandi Sobry (2012), mengatakan bahawa upacara bersunat pula dilakukan dalam suasana yang cukup ringkas, majlis kenduri doa selamat dan hidangan pulut kuning. Selalunya bagi anak lelaki, mereka berpakat bersunat beramai-ramai kerana diadakan kenduri selepas berkhatan. Bagi anak perempuan, sunat dilakukan oleh bidan kampung. Selain itu, upacara ‘belah mulut’ turut dilakukan oleh bidan kampung. Cincin akan digunakan untuk diletakkan di dalam mulut tidak kira cincin milik ibu mahupun milik bidan diiringi bacaan tertentu yang diamalkan.

5.2.5   Adat Upacara Naik Buaian
Terdapat beberapa budaya yang masih diamalkan oleh orang Banjar pada masa sekarang antaranya adalah upacara naik buaian. Walaupun tidaklah semeriah dengan budaya asal namun pelaksanaannya masih dapat dilihat sehingga kini.
Antaranya adalah upacara naik buaian yang selalunya diadakan pada bulan maulud ataupun pada Rabiulawal yang mana disertai dengan upacara berzanji dan marhaban. Kelainannya upacara ini adalah mengikut jantina bayi tersebut. Jika bayi tersebut adalah lelaki, mereka perlu dipakaikan dengan kain batik lepas dan dialas dengan kain belacu yang dicelup dengan dua warna secara berselang-seli. Warna yang digunakan adalah putih kemudian merah dan putih kembali. Bagi bayi perempuan pula yang membezakannya adalah warna kain belacu yang bermula dengan merah dan berselang-seli dengan putih dan kemudian merah.
            Upacara ini dilakukan tanpa upacara cukur jambul. Mereka hanya akan membawa bayi tersebut mengelilingi buaian sebanyak tiga kali. Di tepi buaian itu diletakkan sebuah bakul yang mengandungi segantang beras, satu gula kabong, sebiji kelapa, sepiring pulut, sebiji telur rebus, dan dua batang lilin. Dua batang lilin tersebut akan dinyalakan sambil berdoa supaya diterangkan hati secerah cahaya lilin tersebut.
            Selesai upacara, semua barang akan diserahkan kepada orang yang meletakkan bayi ke dalam buaian. Pada tali buaian pula diikat makanan seperti tiga biji ketupat nasi, tiga biji ketupat pulut, kuih cincin dan pisang dengan tujuan kehidupan kanak-kanak tersebut akan menjadi semanis-manis makanan tersebut. Selesai sahaja selawat makanan ini akan diserahkan kepada kanak-kanak yang datang melihat dan memeriahkan majlis.

5.2.6   Budaya Bapukung           
Bagi masyarakat Banjar, budaya berendoi mereka unik sekali. Kedudukannya nampak tidak selesa dan jika salah faham boleh ditafsirkan seperti mahu menjerut bayi. Sebenarnya, budaya yang dinamakan ‘bapukung’ bukan sekadar untuk majlis cukur jambul tetapi dipraktikkan sejak dahulu sehingga ke hari ini. Di mana sahaja, bayi diletak dalam buaian dalam cara yang sama (rujuk gambar 10).

Gambar 10: menunjukkan budaya bapukung yang masih diamalkan.
Pelik melihat budaya ini kerana kedudukan bayi bukan dibaringkan dalam buaian tetapi diletak seperti sedang duduk dan seterusnya ada ikatan sehelai kain batik lain yang menjerut badannya di bahagian atas (bahagian leher). Walaupun keadaan bayi kelihatan amat menyeksakan, namun sebenarnya, keadaan sebegini menyebabkan bayi tersebut merasa selesa seperti badannya sedang didakap erat. Budaya bapukung sebenarnya satu kaedah popular untuk memberikan rasa selesa dan dakapan kepada bayi untuk membolehkannya tidur lebih lama tanpa rasa terganggu.
Menurut Asmah Ramli (2012) dalam rencana oleh Azrul Affandi Sobry, bayi seawal usia sebulan sudah boleh dipukung. Bayi akan merasa lebih selesa berbanding kaedah buaian yang biasa. Memang kelihatan seperti terseksa tapi sebaliknya bayi lebih selesa dan dapat tidur lama. Kanak-kanak sehingga usia sembilan bulan masih boleh dipukung. Cara membalut bayi mestilah kemas dan padat untuk membolehkan bayi merasa seperti dalam rahim ibu. Biasanya, orang Banjar akan membuat satu pondok kecil sekadar boleh memuatkan buaian bapukung dan sesuai dihayun ke depan dan ke belakang (Asmah Ramli, 2012 dalam rencana ‘Bapukung Buai Bayi Tidur Nyenyak, Selesa’ oleh Azrul Affandi Sobry).
Justeru, orang Banjar yang berkebun dahulu tidak ada masalah membawa anak bersama ke kebun dengan menggunakan bapukung. Pada kebiasaannya, ketika mendodoi anak dalam bapukung, ada nyanyian khusus yang digelar ‘dudoi lagu Banjar’. Asmah Ramli (2012) mengatakan lagu yang dinyanyikan adalah seperti berikut,
“Yun ayun anakku ayun, ayun di dalam, dalam ayunan, lakas bakijim lakasi guring, umak aur banyak gawian. Lailahaillallah Nabi Muhammad pasuruh Allah. Yuna dinana anakku guring, guring di dalam, dalam Bismillah, jauhi culas jauhkan kulir, kus samangat hidup baiman”.
Dodoian sekadar perlahan ke depan dan ke belakang tanpa perlu henjutan seperti buaian lain. Tidak sampai beberapa lama, matanya mula terpejam dan terlena. Menurutnya lagi, jika dibiarkan begitu, bayi itu akan terus lena tanpa perlu didodoi lagi.
Menurut temuramah yang telah dijalankan iaitu Encik Samsudin Bin Jilani berumur 62 tahun pula, beliau telah menceritakan serba sedikit mengenai masyarakat Banjar, pukung adalah salah satu cara yang digunakan oleh orang Banjar khususnya bagi menidurkan bayi. Mereka akan membuat buaian menggunakan kain batik atau pelikat. Buaian ini akan dipanggil ayunan.
Bayi akan diletakkan di dalam ayunan dengan cara bayi tersebut akan berada dalam keadaan duduk dan kain tersebut akan diikat sehingga ke bahagian leher bayi tersebut. Oleh itu, bayi yang berada dalam pukongan hanya akan menampakkan kepala sahaja. Bayi yang berada dalam keadaan ini membolehkan mereka tertidur. Ini merupakan salah satu cara yang berbeza daripada masyarakat lain bagi menidurkan bayi.

5.2.7   Adat Upacara Kematian
Seterusnya adalah menguruskan kematian bagi orang Banjar. Mereka masih mengekalkan proses tersebut mengikut kaedah Islam walaupun mereka mempunyai budaya tersendiri. Hal ini sesuai dengan masyarakat tersebut yang mempunyai pegangan agama yang kuat. Apabila berlaku kematian mereka akan mengetuk beduk bagi memaklumkan kepada penduduk kampung bahawa berlakunya kematian. Sekiranya orang tua yang meninggal dunia beduk akan diketuk sebanyak tujuh kali manakala bagi kanak-kanak sebanyak tiga kali. Mereka akan datang menziarahi serta membacakan surah Yasin serta al-Quran. Menjelangnya subuh mereka akan menumbuk tepung beras untuk dibuat serabai , menyediakan gula waluh dan ayam bapak. Ayam bapak ini dipercayai dapat menggerakkan mayat terbabit di akhirat kelak.
            Urusan pengkebumian jenazah dilakukan oleh orang kampung tanpa sebarang bayaran sebaliknya bergotong-royong untuk urusan mandi, kafan, gali kuburdan sebagainya. Jika ingin menyembahyangkan jenazah, jika tidak cukup 40 oang jemaah maka penduduk dari kampung lain akan dipanggil dan tuan rumah akan menyediakan sampu berisi RM 5 untuk diberkan kepada jemaah yang datang. Untuk mengebumikan jenazah pula keranda tidak digunakan sebaliknya jenazah diletakkan di atas kain usungan atau pelikat dan ditutup dengan kain batik lepas. Pengusung tersebut dibuat daripada dua batang buluh. Anak-anak pula akan mengelilingi di bawah mayat tersebut sebanyak tiga pusingan apabila pengusung diangkat supaya mereka tidak terlalu mengingati arwah.
            Manakala pakaian yang pernah dipakai oleh arwah juga akan disedekahkan kepada saudara mara atau jiran tetangga terdekat. Jika suami yang meninggal dunia isteri tiada tempoh berkabung untuk isterinya pergi ke mana-mana. Masyarakat Banjar juga akan mengadakan kenduri tahlil dan bacaan Yasin iaitu pada hari pertama, kedua, ketiga, ketujuh, ke-25, ke-40 dan penutupnya hari yang ke-100. Setahun sekali juga akan diadakan kenduri sebagai memperingati arwah.

5.3       Perubatan
Rencana oleh Azrul Affandi Sabry di dalam Berita Harian pada 13 Mac 2012 telah memperjelaskan mengenai perubatan masyarakat Banjar. Walaupun pada masa sekarang terdapat banyak kaedah perubatan moden, namun bagi masyarakat Banjar mereka masih lagi menggunakan pengamal perubatan tradisional yang dulu menjadi rujukan utama mereka. Oleh itu, masih terdapat lagi pengamal perubatan tradisional yang menggunakan ayat al-Quran sebagai kaedah utamanya. Boleh dikatakan kebanyakkan pengamal perubatan ini mewarisi kebolehan daripada generasi terawal yang membawa bersama kemampuan mereka daripada Banjarmasin. Kemahiran ini pula sukar dipelajari dan tidak pula menggunakan kaedah tertentu, namun sekadar bacaan ayat al-Quran.
            Pengamal perubatan Fatimah Butit menceritakan penggunaan senjata seperti keris juga adalah sebahagian amalan khusus yang diwarisi sebahagian orang Banjar. Disebabkan 90 peratus daripada generasi pertama dahulu adalah orang yang hebat dalam agama dan handal dalam perubatan serta amalan dalaman maka orang Banjar ini terkenal dengan perubatan berasaskan Islam. Tidak ramai yang menggunakan mantera untuk perubatan, sebaliknya semua adalah dari ayat al-Quran.
            Perubatan bagi orang Banjar pula tidak terhad kepada beberapa jenis penyakit sahaja. Mereka boleh mengubati daripada demam, dirasuk sampailah kepada membuat air selusuh untuk wanita mahu bersalin. Air penawar serta penerang hati juga mereka boleh membuatnya. Jika menggunakan khidmat perubatan Banjar mereka tidak menetapkan bayaran khas. Jika membawa secupak beras serta sebilah jarum juga sudah memadai. Namun, perlu juga disertakan dengan duit 25 sen atau disebut suku. Duit tersebut tidak kiralah diberi sebanyak RM25 sen atau RM1.25, RM10.25. Apa yang penting adalah jumlah 25 sen di belakangnya. Tujuan diletakkan suku di belakang adalah adalah amalan untuk melindungi bomoh tersebut. Hal ini kerana takut penyakit itu akan berpindah ke tubuh bomoh. Suku ini berperanan sebagai pendinding.

5.4       Bahasa
Bahasa Banjar merupakan bahasa Austronesia yang dipertuturkan sesetengah tempat di Semenanjung Malaysia dan di provinsi Kalimantan Selatan, Indonesia. Bahasa Banjar merupakan salah satu cabang bahasa yang berkembang dari Bahasa Melayu. Asal bahasa ini berada di provinsi Kalimantan Selatan yang terbahagi kepada Banjar Kandangan, Amuntai, Alabiu, Kalua, Alai dan lain-lain.
Bahasa Banjar dihipotesakan sebagai bahasa proto Malayik, seperti halnya bahasa Minangkabau dan bahasa Serawai (Bengkulu). Bahasa Banjar banyak dipengaruhi oleh bahasa Melayu, Jawa dan bahasa Dayak. Bahasa Banjar atau sering pula disebut Bahasa Melayu Banjar terbahagi kepada dua kelompok dialek iaitu:
      i.        Bahasa Banjar Hulu
    ii.        Bahasa Banjar Kuala
Bahasa Banjar Hulu hanya mempunyai tiga vowel iaitu /i/ dan variasi yang panjang /i:/, /u:/, dan /a/. Apabila menyebut perkataan yang mengandungi vowel selain dari tiga ini, vowel itu akan diganti dengan tiga di atas berdasarkan mana yang lebih dekat. Contohnya perkataan "logo" akan disebut "lugu". Perkataan "enak" akan disebut "inak", "ke mana" pula menjadi "ka mana". Ciri lain adalah perkataan yang dimulakan dengan vowel selalunya disebut dengan bunyi /h/ pada awalan.
Bagi bahasa Banjar Kuala, ia mempunyai lima vowel, /a, i, u, e, o/.
Orang-orang Banjar yang berada di Sumatera dan Semenanjung Malaysia majoritinya berasal dari wilayah Hulu Sungai (Banua Enam), maka bahasa Banjar yang dipakai merupakan campuran dari dialek Bahasa Banjar Hulu menurut asal usulnya di Kalimantan Selatan.
Selain itu, menurut orang sumber yang kami temui, Encik Samsudin Bin Jilani (62 tahun), beliau telah menceritakan serba sedikit mengenai masyarakat Banjar. Beliau juga menambah bahawa kebanyakkan anak muda sekarang tidak mahir di dalam bahasa banjar. Jika dibandingkan dengan masa dahulu mereka memang telah mempelajari bahasa ini sejak kecil lagi manakala anak muda sekarang tidak terlalu didedahkan dengan bahasa ini sehingga mereka tidak tahu untuk bertutur di dalam bahasa ini. Hal ini mungkin disebabkan oleh ibu bapa mereka telah berhijrah ke tempat lain dan jarang menggunakan bahasa ini.
Namun begitu terdapat juga golongan muda yang boleh memahami bahasa banjar ini tetapi tidak boleh menuturkannya. Hal ini juga telah diterbitkan di dalam akhbar Sinar Harian pada 1 Jun 2010 yang bertajuk Belia Banjar Kurang Kuasai Bahasa iaitu mengikut kenyataan yang dikeluarkan oleh Yang Dipertua Pertubuhan Banjar Malaysia (PBM) Abdul Latif Datuk Masud hanya lebih kurang 60 peratus masyarakat Banjar yang berumur dalam lingkungan 20 tahun dan ke atas sahaja yang dapat bertutur bahasa ini dengan baik.
  
6.0       RUMUSAN
Sebagaiman yang boleh dilihat, orang Banjar di Malaysia sebagaimana masyarakat-masyarakat penghijrah dari Indonesia yang lain seperti orang Jawa, Bugis, Mendailing, Rawa, Kerinchi, Batak, Minangkabau dan lain-lain lagi, telah mengalami arus perubahan yang pesat seiring dengan kepesatan pembangunan di negara ini sendiri. Proses asimilasi yang berlaku ke atas masyarakat ini amat ketara terutama apabila mereka sudah tidak tinggal lagi bersama-sama dalam kelompok mereka mahupun apabila berlakunya perkahwinan campur.
Di petempatan yang majoritinya adalah terdiri daripada masyarakat Banjar, perpaduan mereka masih erat dan mereka masih terus memelihara dan menggunakan bahasa Banjar dalam pertuturan harian. Namun, dari segi pengamalaan adat resam dan organisasi sosial orang Banjar serta prasangkanya terhadap orang bukan Banjar sudah agak berkurangan dan mungkin sudah tiada lagi. Sikap mereka terhadap pendidikan juga telah jauh berubah di mana anak-anak mereka juga telah berjaya melanjutkan pelajaran sehingga ke menara gading dan menjawat jawatan-jawatan yang tinggi di sektor awam mahupun swasta. Namun begitu, pendidikan agama masih tetap menjadi pilihan utama kebanyakan dari mereka dan buktinya dapat diperhatikan daripada ramainya anak-anak masyarakat ini yang mempunyai kelulusan agama yang tinggi terutama orang Banjar dari daerah Kerian, Perak dan daerah Sabak Bernam di Selangor.
Melalui pendokumentasian ilmiah ini, benarlah bahawa masyarakat Banjar sememangnya merupakan masyarakat yang masih berpegang kepada identiti dan cara hidupnya yang tersendiri. Namun yang sedemikian, kami percaya bahawa mereka tetap berpijak pada bumi Malaysia dan sedia bersama-sama dalam membangunkan negara. Proses asimilasi yang berlaku tidak menghilangkan identiti mereka dan tidak juga membuat mereka melupakan tanggungjawab mereka sebagai rakyat Malaysia. Maka, kesedaran perlulah dipupuk bahawa etnik Banjar juga merupakan sebahagian daripada rumpun Melayu dan perlu dihormati dan dijaga identitinya.

RUJUKAN
a)    BUKU
Abdul Latiff Abu Bakar. (2001). Adat Melayu Serumpun. Kuala Lumpur: Penerbit
Universiti Malaya.

Abd. Rahman Hj. Abdullah. (1985). Adat Istiadat Dan Upacara Perkahwinan Daerah
Kalimantan Selatan. Kuala Lumpur: Teks Publishing Sdn. Bhd.

Dr. Omar Farouk Bajunid. (1989). Pengantar Kesenian Perak. Universiti Malaya Kuala   Lumpur.

Habsah Bt Mohd Nordin & Zainal Jazlan. (2005) Istiadat Perkahwinan Melayu Perak.     Ipoh: Sakan Multitrading.

Wan Maizura Wan Mahmud. (2007). Masyarakat Malaysia. Selangor: Pustaka Cahaya  Intelek.

b)   ARTIKEL DALAM AKHBAR
Azrul Affendi Sobry. (2012, Mac 12). Orang Banjar Warisi Darah Pejuang. Berita Harian, N8-N9.
Azrul Affendi Sobry. (2012, Mac 12). Buat Tebuk Bina Kampung Sukar Jejaki Orang       Luar. Berita Harian, N9.
Azrul Affendi Sobry. (2012, Mac 13). Banjar Pakar dalam Sektor Pertanian. Berita            Harian, N8-N9.
Azrul Affendi Sobry. (2012, Mac 13). Bahasa Berbeza Dari Segi Slanga, Dialek, Kosa    Kata. Berita Harian, N9.
Azrul Affendi Sobry. (2012, Mac 14). Perubatan Banjar Guna Ayat Suci. Berita Harian,    N8-N9.
Azrul Affendi Sobry. (2012, Mac 14). Pantang Larang Wanita Hamil Seperti Orang           Melayu. Berita Harian, N9.
Azrul Affendi Sobry. (2012, Mac 15). Bapukung Buai Bayi Tidur Nyenyak, Selesa.           Berita Harian, N8-N9.
Azrul Affendi Sobry. (2012, Mac 15). Tarian Masyarakat Banjar Lemah-Lembut. Berita    Harian, N9.
Azrul Affendi Sobry. (2012, Mac 16). Budaya, Cara Hidup Banjar Unik. Berita Harian,     N8-N9.
Azrul Affendi Sobry. (2012, Mac 16). Wadai Kepeng Dibuat Secara Bergotong-Royong. Berita Harian, N9.
Azrul Affendi Sobry. (2012, Mac 17). Pengantin 'Berpapai' Sebelum Naik Pelamin.          Berita Harian, N8-N9.
Azrul Affendi Sobry. (2012, Mac 17). Arus Kemodenan Antara Punca Adat Asal    Terhakis. Berita Harian, N9

c)    LAMAN WEB
 Tiada penulis. Kulaan Banjar Kerian. https://www.facebook.com/pages/Kulaan-  Banjar-Kerian/167420489940489. Dilayari pada 13 Mac 2012.
Tiada penulis. (2011). Balongan Ahyam, Cenkarok Juadah Ramadan Masyarakat
Banjar.http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0808&pub=utusan_malaysia&sec=Utara&pg=wu_03.htm&arc=hive. Dilayari pada 13 Mac 2012.



OLEH PELAJAR PISMP 3.13 (PENGAJIAN SOSIAL)
KHAIRUL AZMAN BIN ABU HASSAN
NUR SHERA NABILA BT ABDUL AZIZ
MARIATULQIBTIAH BT SAMSUDIN